Friday, September 7, 2012

Fatwa Mufti Kerajaan Mengenai Majlis Perkahwinan

Soalan:

Apakah garis pandu yang patut diikuti oleh masyarakat Islam bagi mengadakan majlis perkahwinan?

Jawapan:

اَلحَمْدُ ِللهِ َربِّ الْعَلَمِيْنَ, وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ, وَبَعْدُ

Sebaik-baik contoh ialah sunnah atau perjalanan hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam, para sahabat Baginda Radhiallahu ‘anhum. Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam di antara lain telah menggariskan mengenai perkahwinan itu aialah:

1. Akad Nikah

Rasulullah menyuruh umatnya menjalankan akad nikah itu di masjid, tempat yang banyak rahmat diturunkan di situ, dan di hadapan orang-orang salih dan orang-orang yang taat kepada Allah dan RasulNya, supaya orang-orang yang salih itu menjadi saksi akad nikah dan mendengar lafaz-lafaz yang dituturkan oleh dua pihak yang berakad itu. Dan lebih kemas dan lebih diterima oleh Allah Ta’ala serta bertambah-tambahlah kebajikan yang akan sampai kepada pengantin lelaki dan pengantin perempuan itu dan banyaklah berkat yang akan turun ke atas kedua mempelai dan zuriat keduanya.

Dan manakala majlis perkahwinan itu dalam keadaan lebih berdamping kepada Allah dan RasulNya serta lebih menjaga suruhan-suruhan Allah Ta’ala dan menjauhi laranganNya. Maka majlis perkahwinan itu lebih diredhai Allah Ta’ala dan sangat-sangat diharapkan diterimanya akan segala amal dan upacara yang dibuat oleh pihak yang menjalankan majlis perkahwinan itu.

Demikian menurut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam dan kata-kata ulama dalam perkara yang disebutkan di atas.

2. Mas Kahwin Yang Ringan 

Semua ketentuan syaria Islam ditetapkan di atas dasar keringanan dan kemudahan, tidak memberatkan dan tidak menyusahkan. Perkahwinan tidak lain adalah perlaksanaan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam, kerana itu mengadakan hal-hal yang memberatkan yang berlebihan ke dalam istiadat perkahwinan dan termasuk adat yang berkaitan sebelum perkahwinan itu adalah merupakan perbuatan atau amalan yang menyimpang dari ketentuan yang digariskan oleh syara’. Ketentuan Allah itu sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

(سورة الحج: 78)

Tafsirnya: “Dan Dia (Allah) tidak mewajibkan hal-hal yang berat atas kamu di dalam perkara agama.”

(Surah Al-Hajj: 78)

Atas dasar pandangan bahawa urusan agama itu tidak adalah tidak memberatkan, maka Islam menghendaki supaya mas kahwin itu tidak memberatkan atau menyusahkan, dan yang demikian perkahwinan mudah dilaksanakan.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam:

إِنَّهُ مِنْ خَيْرِ النِّسَآءِ أَيْسَرُهُنَّ صَدَاقًا

(رواه ابن حبان)

Maksudnya: “Sesungguhnya perempuan-perempuan yang baik ialah yang paling ringan mas kahwinnya”.

(Hadits riwayat Ibnu Hibban)


Sabda Baginda lagi:

إِنَّ أَغْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مُؤنَةً

(رواه الإمام أحمد)

Maksudnya: “Sesungguhnya keberkatan yang paling besar dalam perkahwinan ialah yang paling ringan perbelanjaannya.”

(Hadits riwayat Imam Ahmad)

3. Perkahwinan Itu Dihebahkan

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam:

اعْلِنُوا النِّكَاحَ, وَاجْعَلُوهُ فِى الْمَسْجِدِ وَاضْرِبُواْ عَلَيهِ بِالدُّفُوفِ

(رواه الترمذى)

Maksudnya: “Umumkan (beritahukan) pernikahan, lakukan hal itu di dalam masjid dan pukullah rebana.”

(Hadits riwayat Tirmidzi)

4. Jamuan Kahwin

Rasulullah telah melihat warna kuning pada Abdul Rahman bin ‘Auf, sabda Baginda: “Apa ini?” jawabnya: “Hamba telah berkahwin dengan seorang perempuan dengan mas kahwin seberat sebutir biji kurma dari emas (kira-kira lima derham)” dan sabda Baginda: “Moga-moga Allah memberi berkat kepada kamu, dan hendaklah kamu berjamu kahwin sekalipun dengan menyembelih seekor kambing.”

Rasulullah tiada berjamu kahwin dengan isteri-isteri baginda sebagaimana Baginda berjamu kahwin dengan Sayyidatina Zainab dengan menyembelih seekor kambing.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu dijemput makan, maka hendaklah tunaikan jemputan itu, dan jika kamu suka, maka makanlah dan jika tidak suka, tidaklah perlu makan, hanya hadir sahaja majlis perkahwinan itu, terutamanya majlis akad nikah. Ini yang wajib ditunaikan jemputannya manakala yang lainnya hanyalah sunat sahaja.”

Dan sabdanya lagi yang bermaksud: “Sejahat-jahat makanan ialah makanan jamuan kahwin yang dipanggil orang-orang kaya dan ditinggalkan orang fakir dan barangsiapa meninggalkan jemputan kahwin (dengan tiada apa uzur) maka dia telah menderhaka kepada Allah dan RasulNya.”

وَاللهُ أَعْلَم

3 comments:

  1. Assalamualaikum mawar..
    thanks kongsi ilmu sebegini..

    *rasa berdebar tak sekarang? ehem ehemm

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam, Sheila! :) Berdebar? Hehe belum lagi kot, tapi stresssssss sngattttttt sebab fikir detail tu detail ni blm siap, termasuk baju! :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. I hope everything will be perfect as u wish.
      biasalah tu stress. but make sure masa wedding nanti, u have to leave it out ur mind. heee. i've got ur wedding card! its so awesome. simple and nice mawar :)

      Delete

If you don't have something nice to say, please don't say anything at all. Positive vibes only, people! :)

Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...